Tuesday, December 14, 2010

Rujuk kalendar Jawa elak nasib buruk

KALENDAR Jawa adalah satu keunikan masyarakat Jawa terutama Ponorogo. Namun, lantaran sukar memahaminya di samping terlalu banyak tafsiran tersirat menyebabkan tidak ramai mempelajarinya menyebabkan ia semakin tidak popular. 
Penggunaan kalendar Jawa penting untuk menentukan banyak perkara termasuk tarikh pernikahan, kenduri dan temu duga.


Meskipun kalendar itu tidak digunakan secara meluas, ia dijual di kebanyakan kedai di Batu Pahat dan masih disimpan kebanyakan Jawa Ponorogo walaupun ramai tidak tahu menggunakannya.Dalam kiraan kalendar Jawa, hanya ada lima hari seminggu dikenali sebagai Paing, Pon, Wagei, Keliwon dan Legi. Hari biasa iaitu Isnin hingga Jumaat tetap ada dalam kalendar itu tetapi putaran lima hari menyebabkan ada Isnin dikenali sebagai Isnin Paing dan selepas putaran ia mungkin menjadi Isnin Wagei. 

Sebagai contoh jika Rabu minggu pertama adalah Paing, maka Rabu berikutnya menjadi Wagei. Putaran itu berterusan sehingga 35 hari dan kembali menjadi Rabu Paing. Ia menunjukkan kalendar Jawa menggunakan 35 hari dalam sebulan. 

Untuk membuat perkiraan pula, setiap hari dalam Jawa diberi nombor iaitu sembilan untuk Paing, tujuh (Pon), empat (Wagei), lapan (Keliwon) dan lima (Legi). 

Isnin hingga Ahad juga ada diberi nombor khas iaitu empat untuk Isnin, tiga (Selasa), tujuh (Rabu), lapan (Khamis), enam (Jumaat), sembilan (Sabtu) dan lima (Ahad). 
Nombor ini penting dalam penggunaan kalendar Jawa bagi mengira jumlah nombor diri individu seterusnya menentukan tarikh sesuai untuknya melaksanakan sesuatu perkara. 

Contohnya, jika lahir pada Ahad Pon, kiraannya menjadi lima (Ahad) dicampur tujuh (Pon) yang membawa jumlah 12. Ia diambil bagi menentukan di mana nasibnya akan jatuh berdasarkan lima perkara iaitu lahir, sandang, pagan, loro dan pati. 

Lahir, sandang (pakaian) dan pagan (makan) dianggap sebagai sangat elok manakala loro (sakit) dan pati (mati) dianggap buruk. Selepas dipastikan angkanya 12, ia dikira bermula lahir ke pati sehingga jatuh ke angka 12. Bermaksud, nasibnya jatuh di sandang menandakan hari kelahirannya sangat sesuai. 

Menurut pakar budaya di Parit Baru, Sadiman Rono atau Pak Samad, jika hari lahirnya dalam lahir, sandang atau pagan, dia sesuai mengadakan apa saja majlis pada hari yang sama. 

“Namun, jika hari lahir jatuh pada loro atau pati, elakkan buat majlis pada hari yang sama. Maksudnya, jika dia lahir pada Ahad Wagei (lima campur empat), yang jatuh pada loro, apa saja majlis tidak sesuai diadakan pada Ahad Wagei.

“Dikatakan banyak majlis yang melanggar pantang ini mendapat nasib tidak baik. Kenduri kahwin, nasi tak masak, hujan lebat dan pelbagai lagi. Ada pula cerita, orang makan nasi kenduri dapat sakit perut. Tapi itu semua sudah tidak begitu diamalkan kini,” katanya. 

Kiraan kalendar Jawa juga digunakan untuk menentukan berapa banyak nasi takir perlu disediakan untuk hidangan ketika usia bayi memasuki tiga bulan. Meskipun kalendar ini sudah tidak popular kerana diakui sangat sukar untuk memahaminya, namun ia menjadi antara tradisi dan budaya unik yang hanya ada pada masyarakat itu. 


Sumber Berita Harian

No comments:

Post a Comment