Tuesday, December 14, 2010

Misteri Etnik: Hidup penuh pantang larang sejak dalam kandungan

Jawa Ponorogo pegang teguh adat pastikan segala perbuatan tidak undang musibah 

HIDUP dilingkari adat dan budaya. Tradisi lama tidak dibuang meskipun cara hidup moden semakin kuat mengasak. Itulah yang terus dipertahankan masyarakat Jawa Ponorogo memastikan mereka kekal sebagai etnik unik dalam memelihara budaya sejak lahir hingga dewasa.
Ia dapat dilihat dan dibuktikan dengan amalan ibu mengandung dan menguruskan bayi baru lahir. Meskipun ia tidak banyak berbeza dengan Melayu, ada amalan unik yang sukar dilihat dalam masyarakat lain.


Kebetulannya, kebanyakan kampung di Sri Medan seperti Parit Warijo masih menggunakan khidmat bidan dalam menguruskan bayi dan ibu dalam berpantang sekurang-kurangnya tiga hari selepas bersalin. 

Selain itu, banyak juga pantang larang dan amalan yang digunakan sejak mengandung. Antaranya, kain kemban untuk ke bilik air perlu disidai sebelum mandi. Ia tidak boleh direndam kerana menurut bidan kampung terlatih di Parit Warijo, Rosiah Yaidi, 47, merendam kain berkemban menyukarkan kelahiran anak. 

“Wanita mengandung ditegah duduk di depan pintu kerana sukar bersalin. Ia seperti mengelirukan proses kelahiran sama ada mahu masuk atau keluar. Makan buah seperti epal atau apa saja, tidak boleh terus digigit. Perlu dipotong dengan pisau kerana nanti anaknya juga suka menggigit orang ketika kecil. 

“Satu perkara yang selalunya dipastikan oleh Jawa Ponorogo ialah tiba masa untuk bersalin, semua bekas bertutup seperti tin biskut dan kotak makanan mesti dibuka. Sampai sekarang ia masih diamalkan. Ia memudahkan proses bersalin seperti membuka jalan kelahiran. Jika pakai tocang pun mesti dibuka ikatannya. 
“Ikan bersengat tidak digalak untuk dimakan ibu mengandung. Ikan keli antara yang sangat sensitif dimakan ibu mengandung kerana tabiat ikan itu suka berenang menentang arus. Dikhuatiri, anak yang mahu lahir turut melawan arus, tidak mahu keluar,” katanya ketika ditemui dalam tugasannya menguruskan seorang ibu baru di Parit Baru, Sri Medan, baru-baru ini. 

Masyarakat Jawa Ponorogo juga terkenal dengan beberapa upacara khusus ketika menjalani beberapa fasa iaitu tiga bulan ketika mengandung dan selepas melahirkan anak. 

Paling ketara kenduri untuk anak sulung ketika usianya mencecah tiga bulan. Ketika itu, majlis ringkas dibuat menggunakan hidangan nasi takir (nasi kuning yang dibalut dengan daun pisang berbentuk sampan). 

Ada perkiraan yang dibuat menggunakan kalendar Jawa untuk memastikan berapa bilangan balutan nasi takir perlu dibuat dan ia berdasarkan hari kelahirannya. Sebagai contoh, selepas kiraan oleh orang yang arif kalendar Jawa mendapati hari kelahirannya memberi angka 17, maka 17 balutan nasi takir perlu disediakan. 

“Nasi takir juga dibuat ketika mengandung tiga bulan dan diberi kepada jiran dengan diselitkan jarum di tepinya sebagai pendinding. Pernah dengar cerita orang mengandung, bayinya hilang? Itulah tujuannya jarum diselit di tepi nasi takir untuk mengelakkannya hilang, diambil makhluk halus. 

“Tujuan diagihkan nasi takir kepada jiran ialah supaya mereka tahu ada orang mengandung dan mereka juga tahu yang kandungan itu sudah tiga bulan. 

“Ketika kandungan masuk tujuh bulan, suami dan isteri perlu dimandikan air bunga tujuh jenis. Air itu turut diletak minyak wangi dan ada bacaan khusus untuk membersihkan diri. Ia bertujuan melahirkan bayi yang bersih. Ia dimandikan bidan khusus yang tahu bacaannya menggunakan ayat al-Quran. Biasanya selepas dibaca, air akan berubah menjadi sejuk dingin. 

“Senduk sebagai gayung mandian dibuat dengan kelapa. Isi kelapa pula minyak. Ia direbus sampai menjadi minyak dan diminum ibu mengandung itu supaya lancar apabila melahirkan anak nanti,” katanya lagi. 

Adat paling unik ialah suami membelah kelapa muda ketika isteri mengandung tujuh bulan. Suami menetak dan semua orang menjadi saksi di bahagian manakah kelapa itu dibelah. Jika tepat di tengah, spontan semua orang berteriak, anak perempuan, tetapi jika di tepi, teriak mereka, anak lelaki. 

Meskipun dikatakan hanya kepercayaan Jawa Ponorogo, menurut Rosiah kebanyakan yang membuat tradisi itu biasanya mendapati jantina anak seperti yang dilihat ketika membelah kelapa. 

INFO: Adat berpantang 


  • Ibu bersandar di sendenan bagi mengelak darah putih naik ke mata atau rahim jatuh serta mudah menguruskan bayi. Sendenan dibuat sendiri menggunakan kayu dan jika tiada, bantal juga boleh diguna untuk menampung badan agar lebih tinggi. 




  • Urut ibu bersalin selama lima hari berturut-turut bermula hari kedua atau ketiga untuk membetulkan urat dan peranakan biasanya dengan minyak serai. 




  • Apabila tali pusat tanggal, bayi dimandikan dengan air tujuh bunga bagi menghormati uri yang dikatakan teman rapat bayi. Uri yang ditanam berhampiran rumah disiram sisa air mandian bunga mengelak bayi menangis kerana diganggu semangat uri. Mandian bunga juga untuk memberi seri kepada bayi. 




  • Tempat uri ditanam perlu dinyalakan api setiap malam untuk memberi cahaya supaya ada rasa dihormati. 




  • Jawa Ponorogo menggunakan sengkak iaitu urutan menaikkan kedudukan peranakan yang dilakukan bidan. Pilis pula disapu pada kening untuk mencerahkan mata kerana dikatakan ibu baru melahirkan anak mudah rabun. 




  • Bayi dimandikan dengan air rebusan daun dukung anak jika sakit kuning. 




  • Ibu guna bengkung yang dililit pada punggung dan perut untuk mengembalikan bentuk tubuh. Uniknya, lilitan bengkung sepanjang 12 meter dilakukan sendiri oleh ibu dan tidak ada sesiapa pun termasuk anak kecil dibenarkan lalu di bawahnya.....(sumber berita harian)
  • No comments:

    Post a Comment