Tuesday, December 14, 2010

Misteri Etnik: Tarian Reyog cerminan tradisi seni Ponorogo

Pakaian, gerak tari diubah ikut kesesuaian

BUDAYA mencerminkan bangsa. Seni tradisi membentuk jati diri. Itulah yang mencerminkan identiti dan rupa masyarakat Jawa Ponorogo di negara ini bagi membezakan mereka dengan etnik lain. Selain bahasa yang nyata jauh berbeza, kepelbagaian budaya turut mewarnai keunikan masyarakat ini yang kebanyakan ada di Batu Pahat, Muar dan sekitar Selangor.
Meskipun mereka mengakui hakikat semua seni budaya yang diamalkan masyarakat ini berakar dari Pulau Jawa, Indonesia, namun mereka tegas menafikan berlaku peniruan budaya seperti didakwa segelintir pihak di republik itu.

Bagi mereka, apa yang diamal masyarakat dari Jawa Timur ini ialah kesinambungan budaya nenek moyang yang dibawa sejak mereka berhijrah ke negara ini. Hakikatnya, asal usul mereka memang dari sana. Justeru, tidak dapat tidak, budaya mereka dengan masyarakat Jawa Indonesia pastinya sama.

Malah, hampir semua watak dan elemen dalam seni budaya masyarakat Jawa Ponorogo boleh dikatakan seratus peratus sama dengan Indonesia. Cuma untuk membezakannya, mereka cuba mencipta sedikit kelainan dari segi pakaian dan rentak gerak tari untuk diadun dalam rumpun masyarakat Malaysia.

Jika di Indonesia, ada pesta Reyog yang diadakan setiap kali Awal Muharam, ia tidak diamalkan di sini. Semua elemen budaya yang ada dalam pesta itu aktif digerakkan pada hampir semua kampung Jawa Ponorogo di Batu Pahat, terutama di Parit Baru dan Parit Bingan.

Mereka juga ada permainan, tarian kuda kepang dan gamelan. Malah, mereka tahu bagaimana menggayakan watak Warok, satu karakter pahlawan masyarakat Jawa Ponorogo di Jawa Timur yang diangkat sebagai pejuang hebat mereka ketika zaman pemerintahan kerajaan Majapahit.
Jurulatih budaya di Parit Bingan, Mohamad Marji, 56, berkata dalam pesta Reyog di Jawa Timur, ada tiga elemen yang dipersembahkan iaitu barongan, pentol (watak pahlawan) dan kuda kepang diiringi paluan gendang dalam tiga versi irama iaitu kebogiro, ponoragan dan sampak.

“Kebogiro biasanya menjadi muzik pemula untuk menarik perhatian orang ramai bahawa suatu persembahan itu bakal dimulakan. Ia menandakan pesta Reyog akan bermula. Ponoragan pula adalah muzik utama yang mengiringi rentak tarian kuda kepang dan pentol, manakala sampak pula pengiring aksi peperangan membabitkan watak Singo Barong (kepala harimau dalam barongan).

“Semua itu sebenarnya ada juga di sini (Malaysia). Ia diteruskan tanpa ada sebarang perubahan dalam paluan muzik dan iramanya. Ia menunjukkan masyarakat Jawa Ponorogo di negara ini bukan sekadar membawa masuk tarian, malah muziknya sekali. Alat gamelan seperti gendang, gong, tipung, angklung dan kenong juga sama seperti di Indonesia.

“Sebelum tarian atau persembahan wayang kulit dimulakan, biasanya ada persembahan nyanyian lagu Jawa. Lagunya bebas tetapi selalunya kami membawa lagu tertentu seperti Cicak Rowo, Caping Gunung, Bakul Lemper dan Perahu Layar,” katanya sambil menyanyikan serangkap lagu yang langsung tidak difahami.

Sebagai permulaan sesebuah persembahan, tarian kuda kepang dimulakan. Penarinya mengikut rentak gendang seperti yang sudah diajar jurulatih. Ia persembahan tarian biasa, bukan seperti kuda kepang yang dimasukkan elemen pemujaan dan rasukan. Tarian ini sebenarnya penuh kelembutan dan penarinya wanita.

Difahamkan, dulu penari kuda kepang adalah lelaki dipakaikan pakaian wanita, tetapi disebabkan kini lebih mudah untuk mendapat penari wanita, watak itu sudah diberi kepada mereka, sekali gus lebih menyerlahkan kelembutan tarian itu sendiri.

“Biasanya kuda kepang ditarikan empat gadis. Jumlah sebanyak itu juga bukan sekadar diadakan, tetapi berdasarkan cerita sejarah atau legenda yang dikaitkan dengan masyarakat itu satu ketika dulu.

“Cerita asalnya membabitkan pertembungan dua negeri, iaitu Jawa Timur dan Jawa Tengah. Pada awalnya, ada 144 tentera berkuda dari Puteri Kediri yang dipimpin seorang puteri, Samidah Songgolangit. Puteri itu mempunyai ramai murid dalam ilmu kepahlawanan.

“Masalahnya, setiap kali mereka mengadakan latihan, akan ada gangguan Singa Barong yang dikatakan singa jadian yang garang, jahat dan tiada siapapun dapat menandingi kehebatannya.

“Kerana tidak tahan lagi diganggu, Puteri Samidah mengerahkan semua 144 tentera berkuda menyerang Singa Barong itu, tetapi tewas sehingga tinggal hanya empat orang tentera. Semua 144 tentera itu sebenarnya khunsa, sekali gus menjelaskan mengapa dulu watak penari kuda kepang adalah lelaki berpakaian wanita.

“Empat tentera berkuda itu sempat menyelamatkan diri dan pulang menemui Puteri Samidah. Baginda masih tidak berpuas hati lantas menghebahkan kepada umum ada singa jahat di Hutan Roban yang masih ada di Indonesia,” cerita Mohamad Marji.

Ceritanya lagi, berita itu sampai ke telinga dua pemuda di Ponorogo, iaitu Bujang Ganong dan Kelono Siwandono yang berpakat untuk cuba menewaskan Singa Barong. Bujang Ganong hebat dengan ilmu belut putih, manakala rakannya mempunyai senjata dikenali sebagai pecut saman diman.

Ilmu Bujang membolehkan mereka sampai ke lokasi melalui laluan bawah tanah yang dibuat cepat, manakala pecut saman diman adalah satu cemeti yang sangat ajaib.

Pertempuran itu membawa kemenangan kepada dua pemuda ini yang dapat memenggal kepala Singa Barong. Kepalanya dihias dengan bulu merak untuk dipersembahkan kepada Puteri Samidah. Bujang Ganong dapat berkahwin dengan puteri itu, tetapi selepas 100 hari berkahwin, dia tidak dapat tidur bersama kerana rupa-rupanya puteri itu khunsa.

Oleh kerana itulah Kelono Siwandono mencipta tarian Reyog menggabungkan pelbagai watak termasuk Singa Barong (barongan), kuda kepang dan pentol (watak hero) sebagai hiburan mengubati kesedihan rakannya.

Selain semua kebudayaan tadi, masyarakat Jawa Ponorogo juga aktif dalam seni mempertahankan diri dengan menggerakkan Silat Cimande, sejenis ilmu persilatan yang dikatakan dibawa masuk dari Indonesia.

Gurunya di Parit Baru, Yusof Abdul Ghaffar, 74, berkata Cimande memang milik orang Ponorogo dan berasal dari Jawa Timur. Malah, ada satu kampung bernama Desa Cimande di Ponorogo.

Nyata, jika diamati persembahan barongan, ia umpama satu penceritaan yang bermula dengan watak kuda kepang dipersembahkan sebagai pembukaan sebelum kehadiran Singa Barong seterusnya adegan pertempuran dengan pentol yang melambangkan watak Bujang Ganong dan Kelono Siwandono.

Dalam persembahan kuda kepang, ada beberapa langkah yang digunakan seperti langkah gerak kuda, lompat kuda, goyang pacak gulu (leher), kuda lari dan rentak kuda berjalan.

“Apa yang dipersembahkan memang sama dengan di Indonesia. Cuma, yang membezakannya mungkin sedikit pada pakaian kerana pakaian warok tidak seperti warok sebenar di Indonesia. Warok di sana tak pakai baju. Di sini kita pakai baju. Watak warok juga tidak digunakan sangat di sini,” katanya lagi.

Kemasukan barongan ke negara ini dicetuskan Abdul Karim dan Samuri di sekitar Sri Medan dan Parit Bingan. Dikatakan, mereka bukan pengamal tetapi cuba menghidupkan permainan itu di sini sekali gus mewujudkan sedikit kelainan kerana mereka sendiri tidak belajar secara khusus.

Selain semua kebudayaan tadi, masyarakat Jawa Ponorogo juga aktif dalam seni mempertahankan diri dengan menggerakkan Silat Cimande, sejenis ilmu persilatan yang dikatakan dibawa masuk dari Indonesia.

Gurunya di Parit Baru, Yusof Abdul Ghaffar, 74, berkata Cimande memang milik orang Ponorogo dan berasal dari Jawa Timur. Malah, ada satu kampung bernama Desa Cimande di Ponorogo.

“Seni Cimande yang masih aktif diajarkan di sini masih mengekalkan seni asal dari Ponorogo. Ia adalah seni pertahan diri, bukan untuk pergaduhan. Ia lebih banyak membabitkan gerak seni.

“Lebih utama dalam pelajaran silat ini ialah mengutamakan ketinggian akhlak. Ada satu istilah yang selalu kami gunakan iaitu, biar beralah tapi bukan bererti kalah,” katanya ketika ditemui sedang mengajar silat kepada lebih 15 murid di halaman rumahnya

sumber berita harian

No comments:

Post a Comment