Tuesday, December 14, 2010

Sebar dakwah melalui wayang kulit

WAYANG kulit dalam masyarakat Jawa Ponorogo sebenarnya bukan sekadar hiburan. Ia berkait rapat sebagai agen penyebar dakwah masyarakat itu yang digerakkan secara aktif sejak zaman pendakwahan Wali Songo, Sunan Kalijaga.

Orang Jawa dulu memang gemar hiburan dan kebetulannya pengaruh Hindu begitu kuat ketika itu. Wayang kulit sendiri mempunyai dua versi cerita, iaitu Ramayana dan Mahabratta kedua-duanya mempunyai elemen watak Hindu yang begitu kuat.
Pengamal wayang kulit yang juga Tok Dalang di Parit Baru, Misrin Misman, 61, berkata wayang kulit di Jawa memang dibawa dari India. Di Jawa Timur, cerita Mahabratta dijadikan asas cerita wayang kulit.

“Cuma pengisian dalam cerita wayang kulit itu diubah dan diolah menggunakan watak Pendawa Lima (pendakwah) yang bertindak sebagai penyampai mesej dakwah dalam skrip wayang kulit. Pendawa Lima ini sebenarnya lima beradik dari negeri Ngestina iaitu Punto Dewa, Proto Seno, Arjuno, Nangkulo dan Sedewa.

“Cerita dalam wayang kulit ada berkait rapat dengan cerita dari Ngestina membabitkan pertelingkahan antara dua beradik, Pandu dan Desto Rasto. Kematian Pandu mencetuskan konflik baru di mana berlaku pula perang Brata Yuda (berebut takhta) kerana tidak diwarisi lima beradik tadi.

“Ia adalah cerita asal dari India, tetapi apabila apabila sampai ke zaman Sunan Kalijaga, ia dimasukkan elemen Islam. Malah, pembawa cerita dari India juga sudah diIslamkan. Diceritakan dalam wayang kulit, kehebatan Pendawa Lima menggunakan Azimat Kalimah Syahadah,” ceritanya ketika bersama penulis menonton persembahan wayang kulit dalam satu majlis perkahwinan.

Malah, diceritakan, Sunan Kalijaga sendiri bertindak sebagai dalang yang membawa cerita wayang kulit dalam versi dakwah. Penggunaan bentuk patung wayang kulit yang sebelumnya menyerupai orang sebenar ditukar kepada satu bentuk abstrak dengan hidung panjang dan tidak lagi sama seperti manusia.
Tindakan itu dibuat supaya wayang kulit tidak diharamkan sebagai satu persembahan. Penggunaan warna juga memainkan peranan sebagai gambaran watak. Jika watak jahat, ia diwarnakan merah.

Dalam wayang kulit, selain lima watak utama tadi sebagai hero, mereka berdepan dengan seorang raja jahat, Kurawa yang dibantu orang kanannya, Patih Sangguni.

Watak lain yang turut membantu raja itu ialah Degawan Durno sebagai pawang serta beberapa perajurit seperti Dursosono, Kerto Marmo dan Durmo Gati.

Ketika menonton persembahan wayang kulit pada majlis perkahwinan itu, jelas ia banyak menyuntik unsur dakwah dalam skripnya, termasuk memulakan persembahan dengan puji-pujian kepada Allah, tuhan semesta alam. Ayat suci al-Quran banyak digunakan, termasuk menyeru supaya penonton takutkan Allah.

Namun, disebabkan bahasa Jawa Ponorogo halus banyak digunakan dalam persembahan, kebanyakan penonton hanya mampu terdiam menghayati irama gendang dan intonasi Tok Dalang yang kadangkala mengubah bahasa ke bahasa Melayu. Apa yang pasti, banyak jenaka dalam skripnya kerana ramai orang tua yang faham bahasa halus lebih kerap tertawa.

– Bersambung esok....

sumber berita harian

No comments:

Post a Comment