Sunday, October 3, 2010

TANGANI ISLAMOFOBHIA BARAT

PADERI Terry Jones yang mencetuskan kontroversi dan membangkitkan kemarahan orang Islam apabila mengadakan kempen membakar naskah al -Quran.


Kemuncak tanda Islamofobia Barat ialah apabila ada paderi yang mengumumkan niatnya untuk membakar ratusan naskhah al-Quran bercetak sebagai memperingati peristiwa 11 September di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Walaupun niatnya itu dibatalkan tetapi dunia tergamam dengan pengumumannya. Orang Islam di seluruh dunia marah dan tidak kurang yang sudah mengancam nyawanya.
Apa yang dikhuatirkan ialah apabila beliau meneruskan juga niatnya itu dan satu tindas balas yang ganas berlaku dari kalangan orang Islam, yang natijahnya hanya memburukkan lagi hubungan antara orang Islam, dan Kristian serta selanjutnya menyusahkan dunia keseluruhannya.
Bagi orang Islam, niatnya untuk membakar naskhah al-Quran bercetak itu itu adalah sikap Islamofobia iaitu takut pada Islam. Fobia bermaksud takut pada perkara yang tidak patut.
Sememangnya Islam tidak patut ditakuti. Maka apabila seseorang itu takut pada Islam, maka wujudlah Islamofobia.
Kini di Barat, itulah yang berlaku. Tetapi bagi orang Barat, apa yang mereka rasakan bukanlah Islamofobia. Bagi mereka, ketakutan kepada Islam itu adalah berasas. Ia bukan fobia. Memang wajar Islam ditakuti. Ini kerana Islam yang difahami mereka ialah agama yang mempunyai sifat untuk menghancurkan semua tamadun lain, termasuklah Barat.
Pada pandangan mereka, Islam hanya mahu wujud sendiri dan menakluki agama dan tamadun lain. Tanda terbesar sikap Islam ini menurut kaca mata mereka ialah peristiwa 11 September. Lihatlah bagaimana pengganas Islam telah menyerang simbol-simbol tamadun Barat. Pusat Perdagangan Dunia (WTC) adalah simbol ekonomi Amerika. Pentagon adalah simbol pertahanan Amerika dan Kongres adalah simbol politik Amerika.
Gerakan keganasan Islam inilah yang menjadi bukti pada mereka bahawa Islam wajar ditakuti. Perasaan takut ini pula bagi mereka adalah berasas.
Itu dari segi amalan, tetapi dari segi pemikiran pula, antara mereka turut membaca terjemahan al-Quran. Apa yang mereka dapati ialah ada ayat-ayat keras yang menyeru orang Islam memerangi orang kafir. Mereka juga berasakan bahawa Islam akan sentiasa berusaha untuk menakluki orang bukan Islam.
Maka antara sebab itulah gereja berkenaan mahu membakar naskah al-Quran bercetak sebagai usaha menghantar mesej kepada umat Islam bahawa Barat menganggap ajaran al-Quran sebagai jahat.
Bagi orang Islam, al-Quran adalah semulia-mulia ajaran, tetapi bagi Barat kitab itu membawa dorongan untuk mengganas..
Bagi Barat, al-Quran lah yang membawa kepada peristiwa 11 September itu. Tetapi bagi orang Islam umumnya, serangan dalam 11 September itu bukan ajaran Islam. Keganasan bukan ajaran Islam. Orang Islam sendiri bukan saja takut pada keganasan, tetapi telah pun menjadi mangsa mereka.
Di Afghanistan, Indonesia, Pakistan dan Iraq, orang Islam turut menjadi mangsa keganasan yang dilancarkan atas nama Islam juga. Bukan saja orang Barat, orang Islam juga takut kepada keganasan. Ia bukan satu fobia. Apa yang berlaku bukannya terrorfobia, tetapi ketakutan terhadap keganasan yang sememangnya ada asas.. Pemimpin agung Mujahidin, Ahmad Massoud yang banyak berjasa dalam jihad menentang komunis telah dibunuh oleh al-Qaeda. Sama-sama berjuang atas nama jihad. Tentunya orang Islam umumnya menolak Al-Qaeda dan kaedah perjuangannya.
Muncul
Tetapi kalau Barat menyalahkan al-Quran kerana difikirkan sebagai ajaran yang menghasilkan keganasan, tetapi umat Islam umumnya faham bahawa Al-Qaeda dan kumpulan-kumpulan pengganas atas nama Islam yang lain muncul kerana keganasan pihak Barat sendiri.
Pihak Barat tidak berasa bahawa mereka melakukan keganasan. Malah selepas peristiwa 11 September di mana perang yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya ke atas Iraq dan Afghanistan yang membunuh lebih banyak manusia daripada apa yang berlaku di WTC tidak pula dipandang berat. Nilai manusia yang berbangsa Arab dan Afghan jauh lebih rendah daripada bangsa Amerika dan Yahudi.
Sementara yang melancarkan perang ke atas Iraq dan Afghanistan bukannya diktator tetapi adalah Presiden Amerika, George W. Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair yang dipilih secara demokratik dan mereka secara peribadi adalah penganut agama Kristian yang kuat.
Tetapi orang Islam tidaklah menganggap bahawa keganasan barat itu datangnya daripada Bible. Tidaklah pula umat Islam mencari-cari dalam Bible mengenai suruhan perang untuk dijadikan bukti bahawa kitab itu mengandungi ayat yang menggalakkan peperangan. Tidak pula ada kalangan umat Islam yang mengisytiharkan mahu membakar naskhah Bible.
Sudah banyak orang menulis mengenai punca dan susur galur peristiwa 11 September. Tidak akan ada siapa yang mampu untuk membaca semua ulasan dan kajian mengenainya.
Maka banyak orang hanya membaca ulasan-ulasan yang cenderong kepada pendapat peribadi masing-masing. Kalau dari kalangan pihak Barat, sudah tentu ia memegang sesuatu pandangan yang diwarnai dengan fahaman mereka terhadap Islam secara turun-temurun. Begitu juga di pihak orang Islam. Mereka akan hanya membaca atau mendengar pandangan-pandangan yang cenderong kepada fahaman masing-masing.
Dalam hal ini, pihak Barat dengan segala intelektualnya cenderong untuk menganggap semua orang Islam itu serupa. Sama ada pengganas atau tidak. Semua kumpulan-kumpulan Islam juga dilihat serupa.
Malah sama ada sesebuah negara itu pro-Amerika atau anti-Amerika, dalam hal agama tetap dipandang serupa. Sedangkan hakikatnya seperti penganut agama lain, umat Islam juga mempunyai banyak ragam. Pandangan mereka terhadap apa saja adalah berbeza.
Justeru walaupun Arab Saudi itu adalah negara pro-Amerika, tetapi bagi pihak Barat, dari segi agama, mereka adalah serupa saja dengan orang Islam lain, khususnya dari segi hendak menjatuhkan Barat.
Dari segi sejarah, mungkin mentaliti ini mempunyai susur galur daripada ingatan kolektif Barat terhadap pertembungan antara Islam dan Kristian semasa zaman pertengahan termasuk zaman Perang Salib.
Menyalahkan
Justeru apabila berlaku peristiwa 11 September dan dunia mula mengenal Al-Qaeda dan Osama bin Laden, banyak kalangan pengulas di Amerika menyalahkan Arab Saudi. Sedangkan Arab Saudi telah pun menyingkirkan Osama daripada wilayahnya kerana menyedari bahawa cara Osama itu berbahaya bukan saja kepada Arab Saudi tetapi juga umat Islam keseluruhannya.
Tetapi Osama pula menentang Arab Saudi adalah kerana Amerika. Maka Washingtonlah yang patut menilai dasar-dasar luarnya selama ini.
Terhadap Amerika pula, bukanlah saja Osama yang membencinya, tetapi banyak orang Islam di seluruh dunia yang marah pada Washington. Mengapa orang Islam marah kepada Amerika?
Bagi menjawab soalan ini, Presiden Bush pernah menyatakan pendapatnya bahawa sebab umat Islam membenci Amerika ialah umat Islam tidak menyukai cara hidup Amerika seperti kebebasan dan demokrasi.
Sungguh meleset pandangannya. Berapa banyak orang Islam yang kalau diberi peluang mahu saja berhijrah ke Barat untuk bukan saja mendapat taraf kehidupan yang lebih baik, malah ingin menikmati kebebasan dan demokrasi.
Inilah yang sukar untuk dilihat dan difahami oleh Barat. Orang Islam marah kepada Amerika kerana dasarnya yang membantu Israel menindas rakyat Palestin. Israel mengganas terhadap rakyat Palestin dengan sokongan dan bantuan daripada Amerika.
Dunia tidak memanggil tentera Israel dan tentera Amerika sebagai pengganas. Tetapi adakah apabila tentera Israel menembak kapal kemanusiaan untuk Gaza itu bukan keganasan namanya?
Keganasan boleh dilakukan oleh sesiapa saja yang mempunyai senjata, tidak kira sama ada tentera negara berdaulat atau militan kumpulan fahaman tertentu.
Sejak Perang Dunia Kedua, masalah Palestin tidak dapat diselesaikan kerana Amerika yang kuat sentiasa menyokong Israel, walaupun negara itu melakukan keganasan.
Bukan saja bantuan langsung kepada Israel tetapi Amerika menyokongnya dengan dasar-dasar geopolitiknya yang melibatkan keseluruhan Asia Barat. Setiap negara Islam di rantau itu dipengaruhinya bagi memastikan Israel dapat terus hidup. Bukan itu saja, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut digunakan bagi memastikan Israel dapat terus berkembang.
Amerika hanya menimbulkan soal demokrasi dan hak asasi kepada negara yang menentangnya: Iran, Iraq pada zaman Saddam Hussein, selain Syria dan Afghanistan. Tetapi ia tidak menimbulkan soal-soal itu pada negara-negara sahabatnya seperti Arab Saudi, Mesir, Iran pada zaman Shah dan Turki pada masa dikuasai tentera.
Maknanya demokrasi Amerika adalah selektif, sesuai dengan kepentingan geopolitik mereka. Hal ini tidak ketara bagi banyak orang Amerika yang pendapatnya diwarnai oleh media yang sentiasa menyokong Israel.
Apa yang harus dilakukan oleh umat Islam? Caranya ialah umat Islam sendiri mesti meningkatkan mutu tamadunnya sendiri supaya Barat akan akhirnya dapat melihat Islam sebenar dan tidak perlu fobia lagi.

No comments:

Post a Comment